“Tipulah kalau saya tidak terduduk apabila kehilangan pekerjaan. Saya menangis sepuas-puasnya.
“Apatah lagi saya memikirkan mengenai komitmen bulanan yang tinggi untuk membayar pembiayaan perumahan dan kereta, namun saya tidak boleh terus jatuh dan bersedih mengenangkan nasib kerana perlu bangkit untuk mencari rezeki.”
Begitulah luahan Norzira Syarini Mohammed Pauzi kepada K-Wanita baru-baru ini kala mengimbas keperitan yang dialaminya setelah kehilangan pekerjaan pada Disember 2019.
Namun, itulah detik pedih yang membawanya menjadi seorang usahawan berjaya dalam bidang pengiklanan hari ini.
Kini, menginjak tempoh enam tahun membina empayar perniagaan dalam industri baharu itu, syarikatnya, Newsfeed Media bukan sahaja mencatatkan jutaan ringgit nilai transaksi setiap tahun, malah dia berjaya meraih pelbagai anugerah keusahawanan tempatan.
Bayangkan, hanya selepas setahun menceburi bisnes pada 2019, dia ternyata berpotensi dalam bidang perniagaan pengiklanan apabila mampu menempatkan diri dalam Top 100 Young CEO in Media and Advertising Industry pada 2020.
Antara anugerah lain yang turut diraih Norzira Syarini, 39, ialah Advertising & Public Relation Consultant of The Year dari International Award Niaga Times (2021) serta disenaraikan dalam Nona Most Outstanding Advertising & Public Relation Consultant Award dalam naskhah edisi khas Nona Superwoman 2022.
Bekerjaya sebagai pengamal media dan kewartawanan sebelum ini, dia tidak pernah menyangka bahawa bidang pengiklanan kini menjadi periuk nasinya.
Norzira Syarini berkata, pada awalnya dia mengusahakan sebuah portal kesihatan sendiri tetapi tidak dapat meneruskannya kerana dirasakan ‘tiada jiwa’.
“Kemudian, saya tersedar karier dalam bidang pemasaran dan pengiklanan satu-satunya bidang yang saya yakin mampu diusahakan sepenuh jiwa berbekalkan sedikit pengalaman kerja sebelum ini.
“Bermula dari satu ‘corner’ dalam bilik tidur, saya sediakan sebagai sudut bekerja, dari situ saya menjalankan tanggungjawab sebagai agensi pengiklanan secara berseorangan,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Bermula dengan bekerja berseorangan, dia kemudian pada bulan kedua, sudah mempunyai seorang pekerja dan bulan seterusnya ditambah lagi seorang pekerja dan begitulah seterusnya hingga kini mempunyai 15 pekerja termasuk 12 orang pengurus pemasaran.
Diajak berbicara lebih lanjut mengenai kerjayanya sebelum ini, Norzira Syarini berkata, dia telah berkhidmat sebagai pengamal media selama 10 tahun.

Sehinggalah pada tahun 2019 apabila dia diberhentikan kerja disebabkan syarikat tempatnya menabur bakti itu terpaksa mengurangkan kos tenaga kerja dan operasi bagi meneruskan survival perniagaan.
“Walaupun saya sudah mempunyai suami, tetapi saya sudah biasa bekerja dan ada pendapatan sendiri,” tuturnya.
Justeru tanpa berlengah meskipun sayu di hati masih berbekas, dia terus nekad mencari apa sahaja kelebihan yang ada untuk dijadikan punca pendapatan sehingga akhirnya tersedar potensinya dalam pengiklanan.
“Ketika bergelar pengamal media walaupun bukan tugas hakiki untuk menjual produk dalam syarikat, tetapi ia menjadi amalan untuk memastikan staf mampu membawa pulangan kewangan kepada syarikat.
“Menerusi kemahiran dan jaringan kenalan yang saya miliki dan ada dalam dunia media massa selama 10 tahun itu, saya aplikasikan dengan menubuhkan syarikat pengiklanan, penjenamaan dan pemasaran sendiri secara kecil-kecilan.
“Bermula dengan mendaftar bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Januari 2020, saya tidak menyangka jualan yang dibawa masuk pada bulan pertama sahaja mencecah RM250,000.
“Hal itu (nilai transaksi jualan) menjadi pembakar semangat untuk saya terus menerokai bidang ini dengan lebih jauh,” katanya.
Jelas Norzira Syarini, pada tahun pertama dia menguruskan perniagaannya, syarikatnya berjaya mencatatkan transaksi RM7 juta dan meningkat kepada RM15 juta pada tahun kedua operasi.
Menurut Norzira Syarini, dia hanya memfokuskan kepada syarikat berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan membantu mereka dari segi penjenamaan serta pengiklanan.
“Setakat ini syarikat sudah merekodkan hampir 1,000 jenama tempatan yang menjadi pelanggan syarikat sejak ia ditubuhkan lima tahun lalu.
“Saya bersyukur kerana syarikat kami kini semakin kukuh dan dikenali sebagai antara agensi yang dipercayai oleh ribuan usahawan dan jenama tempatan.
“Syarikat membantu strategi penjenamaan yang mampu memberi impak terus kepada jualan serta kepercayaan pelanggan.
“Kami turut berkolaborasi dengan beberapa selebriti tanah air serta diberi kepercayaan menguruskan kempen besar tahunan seperti di billboard, televisyen, radio dan kempen di pelbagai platform digital,” katanya.
Lebih membanggakan ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, ada antara klien mereka yang sebelum ini hanya berniaga secara kecil-kecilan, kini telah mencapai jualan ratusan juta ringgit serta jenamanya dikenali seluruh Malaysia.
Norzira Syarini kini dibantu sepenuhnya 15 orang staf tetap dengan enam orang daripadanya adalah adik-beradiknya sendiri yang sebelum ini bekerja dengan syarikat lain sebelum berhenti dan menyertai perniagaannya.
“Suami, Mohd. Afiq Abu Hasan yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera turut rela berhenti kerja dan membantu saya menguruskan perniagaan selepas tujuh bulan ia beroperasi,” katanya.
Ditanya kelebihan dan keunikan syarikat yang dibawanya agar terus relevan dan diterima, wanita introvert ini mengakui menekankan hubungan jangka panjang bersama klien, bukan sekadar mengharapkan transaksi atau jualan semata-mata.
Jelasnya, mereka percaya setiap klien mempunyai visi dan keperluan berbeza, jadi syarikat akan duduk berbincang dan cuba fahami secara mendalam serta susun strategi pemasaran yang relevan, kreatif dan berimpak tinggi.
“Selain itu, kami juga mengutamakan integriti dalam servis dan klien akan tahu apa yang mereka bayar, apa yang mereka dapat dan bagaimana impaknya.
“Saya turut menerapkan perkara ini kepada semua kakitangan terutama barisan pengurus pemasaran supaya pantas dalam respons, telus dalam laporan dan sentiasa bersedia beri lebih daripada yang dijanjikan.
“Newsfeed Media turut menggabungkan media tradisional dan digital serta bekerjasama dengan selebriti, pempengaruh dan platform terkini agar jenama klien terus relevan dan kompetitif di pasaran,” katanya.
Berkongsi sedikit cabaran masa kini, kepantasan dunia dengan teknologi yang melahirkan pelbagai platform media sosial terutama TikTok membuatkan syarikat perlu menyesuaikan diri.
“Usahawan terutama PKS menggelarkan kewujudan tersebut sebagai ‘rumah hitam’ dan ia dilihat sebagai satu-satunya platform yang mampu jana pendapatan secara pantas.
“Hal ini menyebabkan kesukaran kepada kami untuk mendapatkan klien yang mahu melabur dalam pemasaran.
“Namun, segalanya dapat diatasi dengan wujudnya bukti-bukti kukuh keberkesanan dan kepercayaan yang diterima klien sebelum ini,” katanya.
Norzira Syarini memberitahu, syarikat kini dalam proses menyiapkan Wisma Newsfeed Media di Tumpat, Kelantan yang akan mula beroperasi Februari depan sekali gus menjadi tanda mercu kejayaan.
Pesannya bagi usahawan baharu, jangan sesekali takut untuk memasang impian yang besar dalam bisnes.
“Impian yang tinggi bukan tanda angan-angan kosong, tapi itulah bahan bakar yang akan menggerakkan langkah kita setiap hari.
“Visi kena jelas, itulah yang akan beri kita arah, semangat dan kekuatan bila berdepan cabaran. Belajar, bertanya, cuba, gagal, cuba lagi. Lama-lama usaha konsisten itu akan bawa anda ke tempat yang tidak pernah anda bayangkan,” tutupnya.















