PETALING JAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilantik sebagai Profesor Adjung Pengurusan Teknologi bagi Program Doktor Falsafah (PhD) PIPK di Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan (IPTK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama tempoh dua tahun bermula 1 Disember 2025 hingga 30 November 2027.
Surat lantikan berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin ketika kunjungan hormat ke atas Azam di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.
Massila berkata, pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesediaan Azam menerima pelantikan itu, berdasarkan latar belakang beliau yang memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan dan undang-undang serta pengalaman luas dalam aspek integriti dan pencegahan rasuah.
Menurutnya, lebih 20 alumni UTeM kini berkhidmat bersama SPRM, sekali gus membuktikan kerelevanan bidang teknologi dan kejuruteraan dalam usaha pencegahan rasuah.
“Kami juga berhasrat menubuhkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar) di UTeM pada tahun ini sebagai platform meningkatkan kesedaran, mendidik serta mempromosikan budaya antirasuah dalam kalangan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Tan Sri Azam berkata, pelajar dalam bidang kejuruteraan dan teknologi lazimnya lebih pantas belajar serta cenderung kepada pemikiran penyelesaian masalah secara objektif.
“Kita mahu pelajar kejuruteraan bukan hanya menguasai aspek teknikal dan teknologi, tetapi juga memahami hala tuju. Mereka perlu bersedia menjadi penyumbang masa depan dan berhadapan dengan masyarakat serta kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata, negara memerlukan lebih ramai individu sedemikian untuk bekerjasama merentas bidang demi pembangunan menyeluruh.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Prof. Dr. Mohd Rizal Salleh; Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global) UTeM, Prof. Madya Ts. Dr. Mustafah Mohd Tahir; Dekan IPTK UTeM, Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Naim Che Pee @ Che Hanapi; Timbalan Dekan IPTK UTeM, Prof. Madya Ts. Dr. Suriati Akmal serta Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe) UTeM, Hazman Hasib. – KOSMO! ONLINE














