PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini bertitah berkenan mengurniakan sebuah masjid bagi penduduk di kawasan Batu Muda, Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, yang diperkenankan mengadap di Istana Bukit Tunku.
“Sudah lama saya simpan hajat untuk memberi sebuah masjid untuk penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan setelah berbincang dengan Datuk Bandar, hari ini pada Jumaat yang mulia, hajat ini dapat dizahirkan.
“Seluruh kos berkaitan pembinaan masjid ini akan ditanggung oleh saya sendiri. Reka bentuknya juga saya tentukan untuk diambil berasaskan Masjid Kampung Mahmoodiah di Johor Bahru. Semoga ianya bermanfaat bagi semua, dunia dan akhirat, Insya-Allah,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Turut hadir menghadap Sultan Ibrahim, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, TPr. Rosli Nordin.
Tapak masjid seluas dua ekar yang telah diperkenankan itu terletak di sekitar Projek Perumahan Rakyat Batu Muda.- KOSMO! ONLINE














