fbpx
Abu Bakar (tengah) bersama empat Exco Perlis baharu di Istana Arau, hari ini.

Walaupun hanya 4 Exco, MB Perlis yakin dapat beri khidmat terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yakin mampu memberikan khidmat terbaik meskipun barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hanya dianggotai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kata beliau, semua Exco yang dilantik hari ini sudah bersedia menggalas tanggungjawab masing-masing menerusi portfolio yang diamanahkan.

“Ini merupakan satu cabaran dan empat Exco baharu ini bersedia dalam apa juga keadaan. Kita bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Kita akan fikirkan apa yang boleh dibuat lagi dan teruskan kerja untuk memastikan Perlis maju setanding negeri-negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di Istana Arau, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang cabaran yang perlu dihadapi beliau bersama empat Exco yang masing-masing memegang antara empat hingga enam portfolio.

Menurutnya, sesetengah portfolio diberikan berdasarkan kepakaran, pengalaman dan tanggungjawab yang perlu diuruskan.

“Tidak boleh tidak, kita akan buat sehabis termampu dan terjemahkannya kepada rakyat. Saya berharap empat Exco yang telah dilantik ini akan berganding bahu bersama-sama dengan saya,” tambahnya.

Barisan Exco baharu terdiri daripada ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; ADUN Sena, Marzita Mansor; ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan; dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak.

Abu Bakar memegang portfolio Pentadbiran dan Kewangan, Pelaburan dan Ekonomi, Tanah dan Sumber Asli, Pelancongan dan Seni Budaya, Infrastruktur dan Kemajuan Luar Bandar serta Keselamatan dan Hubungan Sempadan.

Izizam pula menjalankan tugas mengikut portfolio Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan serta Sumber Manusia dan Modal Insan.

Sementara Marzita mengurus portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan serta Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan, manakala Megat Hashirat pula bertanggungjawab terhadap Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar.

Seterusnya, Wan Zikri bakal menjalankan tugas sebagai Exco Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan serta Sains, Teknologi dan Inovasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI