SHAH ALAM – Pengusaha bas sekolah dikesan menjadikan permit sah bagi sebuah bas sekolah sebagai alat untuk menggerakkan operasi lima atau enam lagi bas di bawah kendalian mereka secara haram.
Situasi itu menjadikan sesi persekolahan minggu depan sebagai lubuk untuk mereka me-ngaut keuntungan mudah tanpa memikirkan keselamatan murid.
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, memang wujud pengusaha yang menggunakan modus operandi mendaftar hanya satu bas sekolah yang sah sebagai ‘topeng’ kononnya memiliki banyak bas sekolah berlesen.
“Sedangkan itu hanyalah helah kerana mereka ini didapati mengoperasikan lima hingga enam bas sekolah lain secara haram tanpa mematuhi sebarang piawaian keselamatan. Modus operandi ini adalah paling licik dan berbahaya kerana tiada permit, insurans dan cukai jalan.
“Satu bas yang berdaftar itu dijadikan ‘lesen hidup’. Ia dipamerkan kepada ibu bapa sebagai bukti sah bagi mengaburi aktiviti sebenar mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Mohd. Haron, penipuan terancang dan sistematik ini memberi keuntungan besar kerana pengusaha hanya perlu membeli kenderaan serendah RM15,000 berbanding van sekolah baharu yang mempunyai 18 kerusi antara RM170,000 hingga RM185,000.
Tegasnya, mereka tidak perlu melakukan pemeriksaan berkala setiap enam bulan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam, pemeriksaan kesihatan atau kursus keselamatan.
“Mereka juga tidak terikat dengan peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat berbeza dengan bas sekolah berdaftar yang hanya dibenarkan beroperasi dalam tiga daerah sahaja.
“Bas sekolah berdaftar pula perlu memohon Lesen Perubahan Sementara sekiranya ingin keluar kawasan operasi, itupun terhad kepada kegunaan ahli keluarga, maksimum tujuh hari dan hanya dalam tempoh cuti sekolah,” katanya.
Tambah Mohd. Harun, pengusaha haram juga mengabaikan aspek penyelenggaraan asas seperti keadaan tayar, brek dan tempat duduk.
“Dengan mengelak semua kos ini, mereka boleh menjimatkan lebih RM2,000 sebulan, sebab itu kegiatan ini terus berleluasa,” jelasnya.
Ujar Mohd. Haron, terdapat van khususnya disamarkan seperti bas sekolah berdaftar dengan warna sama dan cermin gelap bagi mengaburi mata ibu bapa.
“Apa yang pelik, ada ibu bapa tidak kisah anak mereka menaiki kenderaan haram, asalkan murah, cepat dan anak sampai awal di rumah.
Tetapi apabila berlaku kemalangan, mulalah saling tuduh-menuduh.
“Contoh tambang bas sekolah berdaftar RM100, tetapi sindiket tawarkan RM80. Memang ibu bapa pilih mereka sebab harga yang ditawarkan murah,” katanya.
Mohd. Haron menegaskan, kegiatan ini boleh dibanteras sekiranya JPJ melaksanakan operasi besar-besaran secara berterusan, khususnya ketika waktu murid tamat sesi persekolahan.
“Di mana ada sekolah, di situlah mereka. Mereka parkir jauh dari sekolah untuk elak dikesan. Bila keadaan selamat, barulah muncul di pintu pagar sekolah,” ujarnya.
Kata beliau, denda yang rendah menyebabkan pengusaha tidak gentar walaupun dikenakan saman sehingga RM10,000.
“Ada kenderaan disita tidak sampai dua minggu. Lepas itu mereka sambung operasi, malah guna kereta persendirian pula untuk ambil penumpang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, jumlah pemandu bas sekolah di seluruh negara dianggarkan sehingga 17,000 dengan ahli berdaftar 150 orang berbanding hampir 500 ketika Covid-19.
“Di beberapa kawasan seperti Batang Kali, Kajang, Bangi dan Puchong menunjukkan nisbah dua bas sekolah berlesen kepada 10 van haram.
“Ramai pengusaha hanya sertai persatuan bila menghadapi masalah,” katanya.














