fbpx
Dhanabalan (tujuh dari kanan) menerima sijil pengiktirafa daripada Pegawai MBOR, Menaga Vadamalai sambil disaksikan Zaidi (lima dari kanan) di Hab Rantaian Bekalan YLL, Rawang kelmarin.

UniSon pasang bumbung terpanjang di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAWANG – Penyedia penyelesaian bumbung logam dan lapisan din­ding terkemuka, United Season Sdn. Bhd. (UniSon) mencipta sejarah tersendiri selepas menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pemasangan kepingan bumbung terpanjang di negara ini, berukuran 166.49 meter.

Bumbung berkenaan dipasangkan pada Hab Rantaian Bekalan YLL di Sungai Buaya dekat sini, yang merupakan kemudahan logistik canggih dan memerlukan ­penyelesaian bumbung yang mampu bertahan untuk jangka masa lama, tahan lasak serta cekap operasi.

Rekod tersebut dicapai menggunakan sistem KAWA KZ400 Standing Seam Roofing yang dihasilkan daripada besi COLORBOND oleh NS Bluescope Malaysia.

Ia dilihat sebagai satu penca­paian penting dalam sektor pembinaan di negara ini dan mencerminkan kerjasama kukuh, keupayaan teknikal serta inovasi pemain industri dalam menyediakan penyelesaian bumbung berskala besar.

Pengarah Urusan UniSon, SMP Dhanabalan berkata, pengiktirafan oleh MBOR merupakan kejayaan besar bukan hanya bagi syarikat, rakan kongsi dan pelanggan, malah untuk Malaysia dalam memajukan pembangunan penyelesaian bumbung.

Jelasnya, melangkaui kepan­ja­ngan bumbung yang mengatasi rekod terdahulu, pencapaian tersebut turut melibatkan kaedah pemasa­ngan yang kompleks dan cekap.

“Lembaran bumbung dibentuk secara gulungan terus pada aras bumbung itu sendiri, membo­lehkan ketepatan, kecekapan dan kualiti pemasangan yang lebih tinggi sambil meminimumkan pengendalian serta risiko kerosakan.

“Pendekatan ini mencerminkan keupayaan teknikal yang kukuh dan kerjasama erat yang terhasil di sebalik kejayaan projek ini,” katanya pada majlis penyerahan sijil pengiktirafan MBOR kelmarin.

Projek itu menyatukan ekosistem rakan kongsi kukuh termasuk NS BlueScope Malaysia, Akitek ­Akiprima Sdn. Bhd., CK Building Solutions Sdn. Bhd., WBL Perunding Sdn. Bhd., JQS International Sdn. Bhd. Dan HL Roofing Sdn. Bhd. yang bekerjasama rapat daripada reka bentuk serta perancangan hinggalah kepada pelaksanaan serta inovasi dalam penyelesaian bumbung.

Sementara itu, Pengurus Besar Projek UniSon, Zaidi Semail menjelaskan, projek tersebut mendapat pengiktirafan MBOR kerana pihaknya menggunakan kepingan bumbung tunggal serta tidak bersambung dan ia agak jarang digunakan untuk projek berskala besar.

Namun katanya, penyelesaian bumbung sedemikian memiliki kelebihan tersendiri yang mana menerusi pamasangan tanpa menggunakan sebarang skru, ia mengurangkan potensi kebocoran secara signifikan berbanding penggunaan bumbung yang bersambung.

“Ini amat penting terutamanya buat operasi yang sensitif serta berteknologi tinggi seperti melibatkan kilang elektronik atau hangar. Kita sedia maklum baru-baru ini terdapat banyak projek seperti pusat data dan semikonduktor yang bakal diwujudkan di sini.

“Ia melibatkan kos dan mungkin kurang sesuai bagi yang kurang sensitif seperti produk plastik biasa.

Tambah beliau, produk COLORBOND yang diguna pakai memiliki tempoh waranti selama 30 tahun.

“Kami berpengalaman dalam menghasilkan penyelesaian bumbung sejak 1993 dan amat berpuas hati dengan produk mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN