KUALA LUMPUR – Memandang serius isu komen berbaur ancaman, pelakon Datuk Aaron Aziz memaklumkan perkara tersebut sudah dilaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Begitupun, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 50, berkata, individu berkenaan berkemungkinan sukar dikesan kerana menggunakan akaun palsu di media sosial.
“Benda ini sebenarnya sudah pun menjadi kes polis. Tapi susah untuk dijumpai siapa pemilik akaun tersebut kerana akaun palsu.
“Maksudnya tidak menggunakan maklumat peribadi sendiri, sekali gus mungkin mengambil masa. Kita tunggu sajalah.
“Media sosial ini kita tidak tahu, mungkin orang sama komen tapi dia ada banyak akaun. Harapnya jadi peringatan pada pengguna lain,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran filem Black Ops, baru-baru ini.
Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, tindakan tegas mengikut saluran undang-undang tersebut diambil kerana membabitkan keselamatan keluarga.
“Kebiasaannya saya tak ambil peduli komen negatif, sama ada biarkan atau padam dan sekat tetapi kali ini melampau.
“Janganlah ugut mahu apa-apakan famili saya, guna bahasa tidak elok. Kalau melihatkan saya seorang saja tak mengapa. Ini ‘tarik’ isteri, anak-anak saya.
“Kita memang tak boleh paksa orang sukakan kita, tapi apa pun semua perkara kena ada hadnya, usah melampaui batas,” ujarnya.
Terdahulu, pelakon asal Singapura itu mendedahkan menerima komen berunsur ancaman dan penghinaan terhadapnya sekeluarga menerusi media sosial.
Sementara itu, mengenai Blacks Ops juga filem aksi usahasama Malaysia-Hong Kong, katanya banyak babak melihatkan kekuatan serta ketangkasan fizikal.
“Sehingga kini penggambaran sudah berlangsung selama sebulan dan difahamkan kami ada 50 hari lagi untuk menyempurnakannya untuk ditayangkan pada akhir tahun ini.
“Bekerja dengan Syafiq Yusof serta seorang lagi sutradara dari Hong Kong, Chui Tze Yiu merupakan pengalaman istimewa kerana banyak idea diluncurkan sepanjang di lokasi,” katanya
Selain Aaron, Black Ops terbitan Skop Production dan One Cool Film dengan kerjasama beberapa syarikat termasuk Astro Shaw itu turut membariskan Sharnaaz Ahmad, Hisham Hamid, Andy Teh serta Elizabeth Tan. – KOSMO! ONLINE














