SEPANG – AirAsia mengumumkan inisiatif tambang tetap tahunan dengan menawarkan harga tiket pada kadar RM328 bagi penerbangan ke Sarawak dan RM398 bagi laluan Sabah sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri pada tahun ini.
Harga tetap itu ditawarkan bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu, dan Bintulu, manakala penerbangan ke Sabah ditawarkan untuk laluan ke Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif tambang tetap itu terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia pulang ke kampung dengan tambang mampu milik semasa musim perayaan.
“Secara rasmi tambang tetap bagi tempoh perjalanan sempena musim perayaan akan datang ialah RM328 bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sarawak dan RM398 bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Sabah.
“Tambang tetap ini bertujuan membolehkan rakyat Malaysia merancang perjalanan perayaan selain menyokong usaha pertemuan semula keluarga sempena sambutan yang penuh bermakna ini,” katanya pada Majlis Pengumuman Tambang Tetap Sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri di sini tadi.
Menerusi inisiatif tambang tetap itu, tempahan boleh dibuat bermula hari ini hingga 24 Februari
depan untuk tempoh perjalanan antara 13 hingga 24 Februari bagi sambutan Tahun Baharu Cina.
Manakala, bagi sambutan Aidilfitri, tempahan boleh dibuat mulai hari ini sehingga 26 Mac depan dengan perjalanan dibuat antara 18 hingga 26 Mac depan.
Loke berkata, AirAsia juga telah menyediakan lebih 137,000 tempat duduk tambang tetap bagi perjalanan antara Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak sepanjang tiga tahun lalu.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga kekal komited untuk menyokong pelajar melalui program baucar FLYsiswa bernilai RM400 yang diteruskan pada tahun ini bagi membantu meringankan kos perjalanan pelajar yang berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen menyeluruh kami untuk memastikan mobiliti dan peluang kepada golongan muda Malaysia, tanpa mengira tempat mereka belajar atau latar belakang mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, lebih daripada 31,000 tempat duduk tersedia sepanjang tempoh perayaan itu.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dengan menawarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan dengan mampu milik dan merancang lebih awal untuk musim perayaan.
“Kami berbangga dapat menyokong usaha kerajaan dalam memastikan perjalanan yang lancar dan mudah diakses oleh semua, terutamanya pada tempoh permintaan tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














