fbpx

Status BioNexus, BBA sasar jana hasil sebanyak RM2.2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bioeconomy Corporation telah menyumbang sebanyak RM39.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sepanjang tempoh 20 tahun, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama industri bioteknologi dan berasaskan-bio.

Menerusi dua program utamanya, Status ­BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA), Bioeconomy Corporation telah memudah cara lebih RM14.6 bilion pelaburan yang diluluskan, menjana lebih 16,600 peluang pekerjaan di seluruh negara serta menyokong hampir 650 syarikat Status BioNexus dan BBA.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pencapaian 20 tahun Bioeconomy Corporation mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap agensi tersebut untuk menerajui bioekonomi Malaysia ke arah daya saing global.

Menurut beliau, pada tahun 2025 sahaja, anggaran nilai pelaburan dan komersial yang direkodkan di bawah seliaan Bioeconomy Corporation meningkat kepada lebih RM2.44 bilion daripada RM1.55 bilion pada 2024.

“Dengan sokongan MOSTI, Bioeconomy Corporation terus memacu kemajuan di bawah DBN 2.0 dengan aspirasi untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara bioinovasi berteknologi tinggi menjelang 2030.

“Pencapaian ini adalah hasil kepakaran, pengalaman dan keupayaan pelaksanaan Bio­economy Corporation yang dibina sepanjang 20 tahun penubuhannya.

“Kami yakin nilai yang lebih besar akan dicapai pada masa depan, terutamanya apabila organisasi ini memfokuskan strategi lima tahun akan datang kepada enam subsektor bernilai tinggi dan berpotensi pertumbuhan pesat, iaitu protein generasi baharu, pembiakan regeneratif, bahan lestari, bahan kimia berasaskan-bio, perubatan regeneratif dan diagnostik ketepatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak menjelaskan, selain MOSTI, penca­paian orga­nisasi itu disumbang oleh kerjasama rapatnya dengan kementerian, agensi tempatan dan antarabangsa, pemain industri, institusi akademik serta rakan strategik lain dalam ekosistem bioekonomi.

“Pada tahun 2026, kami menyasarkan untuk menjana sekurang-kurangnya RM2.2 bilion hasil daripada syarikat Status BioNexus dan BBA.

“Kami juga akan meneroka penerapan penyelesaian digital dan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu me­ningkatkan skala serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat dengan lebih cekap,” katanya.

Sejak 2005, Bioeconomy Corporation telah membantu mengembangkan syarikat tempatan ke peringkat global melalui sokongan menyeluruh merangkumi promosi pelaburan, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, baka dan akses pasaran serta sokongan pem­biayaan.

Sepanjang lima tahun lalu, lebih 560 pemain industri telah dilatih bagi memperkukuh pematuhan peraturan dan cukai, pengurusan bakat serta akses pembiayaan.

Pencapaian lain termasuk melahirkan syarikat bioteknologi unicorn pertama Malaysia pada 2024 serta kejayaan 18 syarikat Status BioNexus tersenarai di pasaran tempatan dan global. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN