fbpx
ZII JIA terpaksa akur tewas mudah 12-21, 17-21 di pusingan pertama Terbuka Malaysia kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON

Pilihan ketiga tak beri kelebihan – Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKURANG-KURANGNYA kondisi 70 atau 80 peratus diperlukan oleh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia bagi membolehkan dia menyertai skuad badminton kebangsaan ke Piala Thomas di Horsens, Denmark pada April depan.

Bekas juara Asia dan All England itu memberi keutamaan kepada empat kejohanan awal, termasuk Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Thailand Masters bagi mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik.

Zii Jia turut menolak tanggapan mengatakan Malaysia memiliki kelebihan sekiranya dia diturunkan sebagai perseorangan ketiga pada kejohanan dwitahunan itu kerana meletakkan penanda aras tinggi buat diri sendiri.

“Sudah tentu saya akan sentiasa bersedia kalau mereka memerlukan saya tetapi kondisi saya perlu sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus. Pada tahap itu, barulah saya ada keyakinan untuk menyertai pasukan ke Piala Thomas.

“Secara jujur, sekiranya mereka meletakkan saya di posisi perseorangan ketiga, saya tidak rasa ia akan menjadi kelebihan buat pasukan,” katanya yang kembali beraksi pada kejohanan Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Tahun lalu, pemain No. 144 dunia itu terpaksa berehat panjang bagi memberikan fokus terhadap proses pemulihan kecederaan sehingga menyebabkan dia memohon perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kelmarin, Zii Jia terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas tewas dengan keputusan straight set 12-21, 17-21 kepada pemain India, Ayush Shetty.

“Sudah tentu saya tidak mahu bermain dengan kondisi seperti ini kerana ia akan menghasilkan permainan kurang baik. Saya mahu sesuatu yang berbeza dan lebih baik berbanding sekarang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN