SEPANG – Pesawat Malaysia Airlines MH21 yang dalam perjalananan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dilaporkan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de Gaulle, Paris selepas mengalami masalah teknikal semalam.
Malaysia Airlines dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga susulan pengesanan ketidaknormalan pada petunjuk enjin.
Pesawat itu dilaporkan mendarat dengan selamat selain penerbangan seterusnya menerusi kod MH21D dijadualkan berlepas dari Paris pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan hari ini.
“Selaras dengan prosedur keselamatan penerbangan standard, kru penerbangan memohon keutamaan pengendalian dan mematuhi arahan Kawalan Trafik Udara.
“Ia termasuk penggunaan kod transponder kecemasan bagi memudahkan pendaratan semula yang selamat di Paris untuk pemeriksaan teknikal.
“Pesawat terbabit kemudiannya mendarat dengan selamat pada pukul 3.35 petang, waktu tempatan di Paris,” katanya hari ini.
Terdahulu, pesawat Airbus350 Malaysia Airlines mengisytiharkan kecemasan sejurus berlepas dari Paris, semalam. – KOSMO! ONLINE














