BEIJING – Seorang pekerja rangkaian minuman popular di China, Chagee dipecat selepas dirakam menggunakan tangannya yang kotor semasa menyediakan minuman, lapor portal berita Must Share News.
Kejadian berlaku di salah sebuah cawangan yang terletak di Zhangzhou, wilayah Fujian baru-baru ini.
Rakaman video dikongsi di media sosial China, Weibo menunjukkan pekerja yang memakai seragam dan pelitup muka itu sedang mengacau minuman dengan tangannya sebelum meletakkan ais serta bahan-bahan lain.
Dia kemudian menuangkan teh melalui tangan yang sama lalu memerahkan lemon sebelum mengacau minuman itu sekali lagi.
Lebih mengejutkan, minuman itu dibuat tanpa memakai sarung tangan.
Chagee tampil menjelaskan bahawa pekerja terbabit merakam aksinya sendiri untuk membuat trend tular di media sosial iaitu ‘teh susu gaya India’.
“Dia menyediakan minuman itu dengan menggunakan bahan-bahan lebihan dari kedai sebelum waktu tutup. Dia dipecat kerana pelanggaran disiplin yang serius,” kata Chagee. – AGENSI














