KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi di sini semalam bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan individu memakai baju lokap walaupun belum disabitkan bersalah.
Berdasarkan saman yang difailkan pada 7 Januari lalu, Albert, 37, memohon satu deklarasi bahawa tindakan tersebut adalah tidak berperlembagaan dan melanggar hak di bawah Perkara 5(1) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Albert selaku plaintif menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan. Dalam saman itu, plaintif turut menuntut ganti rugi bagi tempoh tahanannya bermula dari 29 November hingga 4 Disember 2025.
Selain itu, Albert turut memohon perintah bahawa tiada kos dikenakan dan pemberian apa-apa perintah berbangkit atau relif lain yang difikirkan sesuai dan adil oleh Mahkamah.
Menurut alasan ringkas permohonan, Albert mendakwa dia diarahkan memakai baju lokap berwarna jingga yang tertera tulisan “LOKAP SPRM” selepas ditangkap pada 28 November tahun lalu. Selepas penangkapannya, Albert dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 29 November bagi tujuan permohonan reman.
Tambahnya, kehadiran jurugambar dan individu tidak dikenali yang merakam gambar dan video di pekarangan mahkamah telah mendedahkannya kepada perhatian umum.
Albert mendakwa, tindakan SPRM mengarahkannya memakai pakaian tersebut di hadapan media dan orang awam merupakan satu pelanggaran hak perlembagaan di bawah Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Ketika itu, ramai jurugambar serta individu tidak dikenali mengambil gambar dan merakam video ketika plaintif memakai baju oren tersebut. Tindakan itu secara tidak langsung memalukan plaintif dengan mendedahkannya secara terbuka,” kata saman berkenaan.
Sementara itu, peguam N. Surendran yang mewakili Albert Tei ketika ditemui berkata, anak guamnya mempunyai alasan kukuh untuk mencabar perkara tersebut di mahkamah kerana tiada seseorang pun boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
“Atas kuasa undang-undang apa seseorang yang ditangkap dan masih disiasat dipaksa memakai baju lokap berwarna oren, gambarnya diambil dan kemudian disebarkan di internet, media dan televisyen?
“Jika orang itu dibebaskan di mahkamah, apa yang berlaku kepada maruahnya? Bolehkah ia ditebus?” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pekarangan mahkamah di sini hari ini.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad membenarkan kes rasuah Albert Tei dari Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan sama.
Ketika dibacakan semula pertuduhan, Albert Tei kekal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan suapan berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik seorang wanita bagi tujuan pembayaran penyewaan sebuah rumah di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur kepada Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang Tei mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














