IPOH – Sebuah motosikal yang didapati tidak mempunyai brek belakang antara lapan kenderaan termasuk sebuah kereta yang disita dalam Operasi Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak di Jalan Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan menegaskan, tindakan menanggalkan brek belakang motosikal boleh mengundang risiko kemalangan serius khususnya ketika berdepan situasi kecemasan.
“Bayangkan jika berlaku kecemasan, pejalan kaki dan haiwan melintas atau kenderaan di hadapan berhenti secara tiba-tiba, tanpa brek belakang keupayaan untuk memberhentikan kenderaan akan terjejas.
“Begitu juga tindakan menanggalkan cermin sisi motosikal. Saya terkejut apabila masih terdapat penunggang yang menanggalkannya walaupun ia dipasang lengkap semasa kenderaan dikeluarkan oleh pengeluar,” katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi yang disertai 33 pegawai dan anggota itu, sebanyak 820 motosikal diperiksa dengan 74 kenderaan diambil tindakan, termasuk tujuh motosikal yang disita.
Katanya, sebanyak 176 notis dikeluarkan membabitkan 226 kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor, tiada insurans, nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan teknikal.
“Sebuah kereta turut disita selepas pemeriksaan mendapati pemiliknya gagal perbaharui cukai jalan sejak Jun 2024,” katanya.
Tambahnya, setiap kenderaan yang berada di jalan raya wajib memiliki cukai jalan dan insurans yang masih sah, selain dipandu oleh individu yang mempunyai lesen memandu yang sah. – KOSMO! ONLINE














