MELAKA – Melaka memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab maritim serantau dengan memeterai kerjasama strategik bersama syarikat perkapalan Turkiye bagi pembangunan limbungan kapal moden bernilai RM1.8 bilion di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Selat Melaka (SM-WEZ).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, hasil lawatan delegasi ke Desan Syipyard, Istanbul, satu Memorandum Perjanjian (MoA) dijadualkan ditandatangani hari ini bagi pelaksanaan projek tersebut.
Katanya, kerjasama itu merupakan langkah strategik untuk memperkasa ekosistem industri maritim dan menarik pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini.
“Projek Enrique of Malacca Shipyard bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri maritim negeri, malah mengangkat semula legasi maritim Melaka ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama teknologi dan kepakaran global.
“Projek Enrique of Malacca Shipyard akan dibangunkan di kawasan pesisir pantai Melaka dengan akses terus ke laluan perkapalan antarabangsa tersibuk dunia, iaitu Selat Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, limbungan kapal itu akan dibangunkan di kawasan seluas 23.3 ekar menerusi usaha sama antara di SM-WEZ Corporation sebagai agensi peneraju zon ekonomi khas dan Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. sebagai pemaju projek.
“Kerjasama strategik turut melibatkan Desan Deniz, syarikat perkapalan Turkiye yang mempunyai pengalaman industri selama 47 tahun.
“Projek ini dijangka mengambil masa dua tahun untuk pembinaan sebelum mula beroperasi sepenuhnya pada 2028, menjadi pemangkin utama pertumbuhan industri maritim di Selat Melaka dan Asia Tenggara,” katanya.
Tambahnya, antara komponen utama projek itu termasuk pembinaan dan pembaikan kapal, perkhidmatan marin, kemudahan fasiliti fabrikasi serta tarikan pelancongan maritim, sekali gus mengangkat semula legasi maritim Melaka ke peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE














