MELAKA – Kanak-kanak penghidap penyakit biliary atresia (BA), Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq yang menjalani pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China bulan lalu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 25, yang memberitahu, anaknya akan menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Alhamdulillah, kami tiba di KLIA kira-kira pukul 11 pagi tadi. Insya-Allah, Medina akan sambung rawatan di PPUM mulai hari ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Kosmo! kelmarin melaporkan Medina yang berusia dua tahun lima bulan dibenarkan keluar hospital dan pulang ke Malaysia selepas menunjukkan perkembangan positif susulan pembedahan pemindahan hati pada 23 Disember lalu.
Kisah Medina tular di media sosial selepas sebahagian besar dana pembedahan disumbangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berjumlah RM120,000, manakala RM62,000 lagi dikutip menerusi Yayasan Nanyang Press.
Muhammad Ikmal berkata, pembedahan tersebut sepatutnya dilakukan ketika Medina berusia setahun, namun dana tidak mencukupi selain doktor memberi prognosis 50-50 susulan keadaan hati anaknya yang mula mengeras.
Pembedahan pemindahan hati Medina berjaya dilakukan tanpa sebarang komplikasi, namun kanak-kanak itu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi pemantauan dan ditidurkan selama empat hari susulan penemuan kuman di paru-parunya.
Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau turut melawat Medina di Shanghai sebelum kepulangan kanak-kanak itu ke Malaysia. – KOSMO! ONLINE














