LONDON – Cerita mengenai masa depan pengurus pasukan, Arne Slot membayangi persiapan Liverpool yang bakal berkunjung ke Stadium Emirates untuk aksi menentang Arsenal awal pagi esok.
Pengurus dari Belanda itu dilaporkan mencetuskan ‘perang dingin’ dengan pengarah sukan kelab, Richard Hughes membabitkan kedudukan pemain muda, Rio Ngumoha.
Selepas The Reds menjual Luis Diaz, Slot dikatakan mahu meminjamkan Ngumoha kepada mana-mana kelab dan mendapatkan pemain lebih baik, namun cadangan itu tidak dipersetujui oleh Hughes.
Prestasi semasa juga mungkin menguatkan andaian mengatakan Slot berisiko mengikut jejak dua pengurus lain, Enzo Maresca dan Ruben Amorim yang ‘berpisah’ dengan Chelsea serta Manchester United.
Bagaimanapun, kapten pasukan, Virgil van Dijk tampil meredakan tekanan dan mahu seluruh pasukan beri perhatian lebih untuk pastikan aksi lebih baik mampu dijelmakan pada pertemuan dengan Arsenal.
“Kami perlu kembali dengan aksi lebih baik dan kuatkan pasukan. Arsenal memiliki skuad yang bagus dan kita tahu mereka tidak kalah di gelanggang sendiri, musim ini.
“Jadi ini adalah cabaran yang bagus dan kami perlu bersedia untuk menghadapinya. Tidak ada sebab untuk kami tidak lihat ke depan tetapi perkara utama adalah fokus untuk harungi proses pemulihan terlebih dulu,” katanya.
Rekod pertemuan terakhir berpihak kepada Liverpool yang menang 1-0, Ogos tahun lalu, namun selepas itu The Reds mengharungi detik tidak menentu, manakala The Gunners kekal dengan prestasi lebih konsisten.
“Setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris adalah sukar dan Arsenal sudah berikan tugasan mencabar kepada banyak pasukan. Jadi kali ini, kami dapat jangkakan yang mereka akan terus lakukan perkara sama,” kata Van Dijk. – AGENSI














