SEBERANG PERAI – Seorang konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas tuduhan menipu wanita berhubung penyelesaian bayaran saman, dua tahun lalu.
Tertuduh, Awang Azizan Awang Jana, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu mangsa berusia 53 tahun dengan mendakwa boleh membantu menyelesaikan empat saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM850 milik adik lelakinya dengan bayaran RM620. Perbuatan itu mendorong mangsa membuat bayaran ke akaun bank tertuduh.
Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan pada 12 Jun 2024 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan RM4,000 selain meminta tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu ikat jamin minimum atas alasan perlu menyara isteri dan tiga anak, termasuk seorang adik yang menghidap kanser.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan termasuk melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. Kes disebut semula pada 9 Februari depan. -KOSMO! ONLINE














