PADANG RENGAS – Seorang wanita menempuh ujian berat pada usia emas apabila menjaga suami yang menghidap penyakit paru-paru kronik dan anak lelaki orang kurang upaya (OKU) sindrom Down.
Menurut Hanim Azuar Mohamad, 69, suaminya, Mohd. Sapiee Kamarudin, 74, yang disahkan menghidap penyakit itu kira-kira enam tahun lalu kini bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen. Bahkan, lelaki warga emas juga terpaksa kerap berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
“Selain suami, saya perlu menjaga anak lelaki walaupun usianya mencecah 32 tahun. Segala keperluan termasuk membersihkan diri dilakukan oleh saya.
“Kalau diikutkan dalam usia begini, saya sudah tiada daya namun perlu kuatkan semangat demi suami dan anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 17, Padang Rengas di sini baru-baru ini.
Menurut ibu sembilan anak itu, dia dan suaminya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal bagi menampung kehidupan, selain sumbangan anak-anak. Keadaan Mohd. Sapiee juga memerlukan mereka menyewa mesin oksigen dengan bayaran sebanyak RM200 sebulan.
Hanim Azuar turut melahirkan kebimbangan mengenai keadaan rumahnya yang uzur berikutan banjir yang menyebabkan sebahagian kediaman tersebut dinaiki air.
“Kalau banjir bahagian dapur jadi semakin rendah kerana tiang rumah mendap. Jika mahu ke dapur rasa seperti terjun ke bawah. Saya harap ada pihak yang berhati mulia dapat membantu membaiki rumah ini.
“Saya bukannya meminta rumah baharu, tapi cukuplah dengan menaikkan bahagian dapur selain membaik pulih lantai, dinding dan atap,” katanya.














