IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mencatatkan kutipan kompaun melebihi RM30 juta hasil pelaksanaan tawaran diskaun saman sebanyak 50 peratus.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, jumlah yang direkodkan pada 2025 itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM4.8 juta berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, kutipan kompaun itu antara yang menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil JPJ Perak sebanyak RM239 juta pada tahun lalu berbanding RM217 juta pada 2024.
“Sebanyak RM30,680,983 kutipan kompaun direkodkan pada tahun lalu berbanding pada tahun 2024 iaitu sebanyak RM25,875,560.
“Peningkatan kutipan sebanyak RM4.8 juta ini adalah hasil daripada pelaksanaan pengurangan kadar kompaun sebanyak 50 peratus,” katanya kepada pemberita dalam operasi di Jalan Sultan Azlan Shah, di Ipoh hari ini.
Menurut Mohammad Yusoff, jumlah notis P22 yang dikeluarkan pada operasi sepanjang tahun lalu ialah sebanyak 129,120 berbanding 130,748 pada 2024.
Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus atau 1,628 notis.
“Secara keseluruhannya, operasi yang diadakan sepanjang tahun lalu berjaya mempengaruhi tingkah laku dan sikap pengguna jalan raya kepada lebih baik.
“Kita mahu tahu mereka patuh atau tidak, lihat bilangan notis atau saman yang dikeluarkan sama ada bertambah atau berkurangan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan Op Perang Lebih Muatan di Perak turut menunjukkan kesan positif apabila kadar pematuhan dalam kalangan pemandu dan pengusaha lori berada pada tahap yang menggalakkan. – KOSMO! ONLINE














