JAKARTA – Seorang wanita di Kota Tangerang, wilayah Banten ditahan pasukan keselamatan lapangan terbang selepas menyamar sebagai pramugari dan berpura-pura bertugas ketika berada di dalam pesawat, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Wanita yang hanya dikenali sebagai KN, 23, memakai pakaian seragam kru kabin Batik Air, lengkap dengan sanggul mengikut gaya pramugari syarikat tersebut, bagasi serta kad pekerja palsu.
Dia menaiki pesawat Batir Air laluan Palembang-Jakarta kelmarin.
“Wanita tersebut membeli tiket penerbangan seperti penumpang biasa, namun memakai pakaian seragam pramugari.
“Dia juga melalui laluan pintu pelepasan pekerja,” kata keterangan hantaran di platform Instagram Batik Air.
Tambah keterangan tersebut, ketika berada di dalam pesawat dan disoal oleh kru kabin sebenar, KN memberi jawapan yang pelik dan tidak memenuhi standard pramugari.
Setibanya di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, beberapa petugas keselamatan telah menunggu dan melakukan pemeriksaan ke atas wanita tersebut.
Ketika disoal siasat, KN mengaku bahawa dia pekerja sah serta menunjukkan kad pekerja. Namun, selepas disoal oleh pihak polis, dia akhirnya mengaku menyamar kerana mahu menipu keluarganya.
“Dia pernah menghadiri temu duga jawatan pramugari Batik Air, namun gagal.
“Disebabkan malu kepada keluarga, dia memakai pakaian seragam pramugari agar kelihatan seperti mendapat pekerjaan itu,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lapangan Terbang Soetta, Komisioner Yandri Mono.
Tiada sebarang tindakan diambil ke atas wanita itu, namun dia tampil membuat permohonan maaf atas perbuatannya. – AGENSI














