KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia disaran agar tidak terperangkap dengan polemik kecil, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda besar negara yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan masa depan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, berkata demikian ketika mengulas reaksi segelintir netizen yang mengecam tindakan Perdana Menteri meletakkan kalungan bunga di makam Mustafa Kemal Atatürk di Turkiye.
Zulkifli berkata, perkara sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia pernah dilakukan oleh ramai pemimpin dunia sebelum ini dan tidak wajar diperbesarkan sehingga mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang lebih penting.
“Semua pemimpin pernah melakukannya dan kita melihat perkara itu sebagai sesuatu yang diharuskan. Namun, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya memberi fokus kepada perkara yang lebih besar dan lebih utama,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan peranti Ebrelle kepada guru al-Quran OKU penglihatan di Kingston 10 Unicorn Hotel, di sini hari ini.
Beliau berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada agenda kerajaan termasuk usaha menarik pelaburan asing, memperkukuh hubungan dua hala antara negara serta inisiatif pembangunan yang dibawa kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
“Apa yang kerajaan bawa, apa yang Perdana Menteri bawa dari segi pelaburan dan hubungan antara dua negara yang lebih baik, itulah yang perlu kita tekankan.
“Kita perlu fokus kepada perkara yang lebih positif dan lebih aulawiyat berbanding perkara kecil,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan istiadat peletakan kalungan bunga di Anıtkabir iaitu kompleks yang menempatkan makam pengasas negara Turkiye, Mustafa Kemal Ataturk di Ankara.
Istiadat tersebut diadakan sempena lawatan rasmi beliau ke Turkiye yang sedang berlangsung ketika ini. – KOSMO! ONLINE














