fbpx
Gambar hiasan - JANAAN AI

‘Bukan sebab malas, tetapi sebab berjuang untuk hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kehidupan seorang lelaki berusia 29 tahun berubah sepenuhnya selepas syarikat tempatnya bekerja menamatkan jawatannya secara mengejut.

Menerusi hantaran di media sosial, lelaki tersebut merupakan seorang graduan universiti dan baru setahun berkahwin, menceritakan pengalamannya kehilangan pekerjaan tetap dan pendapatan stabil secara tiba-tiba.

“Saya dipanggil pihak sumber manusia dengan ayat ringkas ‘syarikat buat penstrukturan semula. Jawatan awak terpaksa ditamatkan’. Tiada amaran, tiada drama, hanya tanda tangan kertas dan keluar pejabat. Orang lain masih kerja lebih masa,” tulisnya.
Tambahnya, meskipun telah menghantar lebih 30 permohonan kerja dan menghadiri beberapa temu duga, dia masih gagal mendapatkan jawatan tetap.

“Dari gaji letak RM4,000 sehingga akhirnya RM3,000 dan masih tulis boleh bincang. Saya beritahu isteri tidak apa, saya akan dapat kerja tetapi saya nampak dia kira duit dalam kepala,” tambahnya.

Atas cadangan isteri, lelaki tersebut menerima pekerjaan sementara sebagai penghantar makanan dan hari pertama menimbulkan ujian emosi yang besar apabila pendapatan tidak mencukupi.

“Tangan menggigil, pakai helmet, buka aplikasi, pesanan pertama RM6. Lapan jam kerja, naik turun bangunan, hantar makanan, tak sampai RM50. Tolak minyak tinggal sikit saja,” tulisnya.

Pengalaman tersebut memaksanya lebih fokus kerana setiap penilaian daripada pelanggan boleh menjejaskan pendapatan.

“Dulu walaupun susah, saya masih angkat kepala. Sekarang setiap pesanan membuatkan saya rasa tunduk. Bukan sebab penat, tapi rasa rendah diri bila lama menganggur,” katanya.

Lelaki itu menegaskan bahawa tekanan ekonomi dan stigma terhadap penganggur memaksa ramai mengubah cara hidup demi keluarga.

“Bila kau lama menganggur, masyarakat sendiri akan tentukan apa yang kau ‘layak’ buat. Tapi ini bukan soal malas, ini soal berjuang untuk hidup,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN