SUNGAI BULOH – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Melayu Subang sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan berkenaan dibuat oleh ibu mangsa pada pukul 10.07 malam, semalam.
Menurut beliau, mangsa dikenali sebagai Anis Farhana Azrul dan dilaporkan keluar dari kediamannya di Lot 6856-F, Lorong Kemboja, Kampung Melayu Subang, Shah Alam kira-kira pukul 8.50 malam hari sama sebelum gagal dihubungi.
“Mangsa berusia 16 tahun dan mempunyai ketinggian kira-kira 145 sentimeter dengan berat sekitar 35 kilogram.
“Mangsa berbadan kurus, berkulit hitam manis, berambut hitam paras bahu dan keriting, berwajah bujur serta bermata bulat berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju T berlengan panjang berwarna kelabu, seluar jeans panjang hitam, bertudung hitam serta berselipar biru.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan mangsa diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Sarjan Mohd. Hizam Talib di talian 012-655 0262. – KOSMO! ONLINE














