DENGKIL- Sebanyak 240,493 buah kenderaan perdagangan diambil tindakan menerusi Operasi Lebih Muatan di seluruh negara sepanjang tahun laluberbanding hanya 126,974 tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tahun lalu juga, sebanyak 465 buah kenderaan telah disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Beliau berkata, jumlah kenderaan disita itu juga meningkat 85.2 peratus berbanding 69 kenderaan sepanjang tahun 2024.
“Secara keseluruhan, sebanyak 1.2 juta kenderaan telah diperiksa menerusi Operasi Lebih Muatan sepanjang tahun lalu berbanding 829,392 kenderaan pada tahun sebelumnya.
“Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada Lesen Vokasional, tidak menyelenggara tayar dengan baik, dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Peringkat Negeri Selangor di Hentian Rawat dan Rehat Dengkil (Utara) di sini, malam tadi.
Katanya, operasi itu dilaksanakan bagi mengesan kenderaan yang melanggar had muatan dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan serta pematuhan penggunaan Sistem Had Laju (SLD). – KOSMO! ONLINE














