PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dinasihati pakar perubatan untuk tidak menjalani pembedahan pinggul susulan keadaan kesihatan beliau selepas terjatuh di kediamannya baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang memaklumkan, Dr. Mahathir patah tulang pinggul selepas terjatuh ketika melakukan ‘brisk walk’ iaitu senaman rutin yang lazim dilakukannya setiap pagi.
Menurut Mukhriz, pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur mendapati faktor usia Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh yang sudah 100 tahun menyebabkan pembedahan bukan pilihan terbaik.
“Oleh kerana keadaan kesihatan, maka tentulah beliau kena ambil masa sedikit. Lebih kurang dua hingga tiga minggu untuk berehat atas faktor usia mencecah 100 tahun, maka pembedahan bukanlah satu pilihan yang baik.
“Kita dinasihatkan oleh pakar-pakar (perubatan) untuk beliau (Dr. Mahathir) melalui satu proses pemulihan biasa yang akan memakan masa sedikit,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.
Mukhriz berkata, rawatan pemulihan itu bertujuan memastikan bapanya kembali sihat seperti sediakala dan meneruskan tugasan seperti yang dilakukan sebelum ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan bapanya.
“Saya menerima banyak mesej, bukan sahaja daripada rakan-rakan, malah individu tidak kenali dan keluarga kami yang mendoakan kesihatan beliau,” katanya yang turut memohon orang ramai memberi ruang dan masa kepada Dr. Mahathir untuk berehat sehingga pulih.
“Pada waktu sama, saya mohon berilah beliau masa untuk betul-betul kembali sihat supaya boleh bersama kita dalam perjuangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














