PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menggabungkan tiga jabatan berkaitan perburuhan sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula bagi memperkemas dasar serta proses dan prosedur kerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, penggabungan itu melibatkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Pekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan yang ketika ini beroperasi secara berasingan walaupun menangani isu dalam rantaian sama.
“Kita telah bincangkan bahawa tiga jabatan akan digabungkan sekali, jadi akan ada penstrukturan semula, nama (jabatan) mungkin kita boleh bincang untuk cari satu nama yang sesuai untuk diberikan kelak,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke JTKSM di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














