KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan banyak masalah ketika meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi, gandingan naib juara dunia itu menewaskan beregu India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda dari India 21-11, 21-9.
Keputusan itu menyaksikan Pearly-Thinaah menamatkan badi kekalahan di pusingan pertama pada Terbuka Malaysia selepas mereka gagal melangkah ke pusingan kedua dalam tiga edisi terdahulu.
Pearly mengakui gembira dengan kemenangan hari ini memandangkan mereka ada memikirkan mengenai kekalahan awal dalam tiga edisi lalu selain persiapan dibuat kali ini membuahkan hasil.
“Kami pun ada fikir (kekalahan awal) tetapi kami rasa itulah yang perlu diperbaiki kerana sudah tiga kali kalah di pusingan awal dan itu memang mengecewakan. Jadi kali ini memang kita betul-betul bersedia.
“Kami memberikan sepenuh fokus terhadap aksi sendiri dan ia sangat membantu. Kami juga banyak berkomunikasi dengan jurulatih dan sesama sendiri sepanjang perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menjelang aksi pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung esok, Pearly-Thinaah akan membuat perhitungan menentang beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.
“Kita sudah jumpa mereka banyak kali sebelum ini, termasuk di final Sukan SEA, jadi ia bukan sesuatu yang senang. Memang kita perlu melakukan persediaan terbaik dari segi mental dan fizikal,” ujar Thinaah. – KOSMO! ONLINE














