KUALA LUMPUR – Leong Jun Hao terus menjadi harapan tunggal Malaysia dalam acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu dipaksa bekerja keras sebelum menang 21-17, 21-17 dalam tempoh 48 minit ke atas pemain China, Wang Zheng Xing.
Meskipun berdepan cabaran sukar sepanjang perlawanan itu, namun Jun Hao menyuarakan rasa puas hati kerana masih mampu mencatat kemenangan selepas beberapa kali ketinggalan kepada Zheng Xing.
“Perlawanan tadi memang saya rasa agak sukar sebab di set kedua tidak senang kerana ada ketinggalan. Saya dapat kejar semula dan menang, jadi memang seronok untuk perlawanan hari ini.
“Kehadiran penonton juga memang membantu saya sepanjang perlawanan. Ini adalah permulaan baik untuk 2026 kerana tahun lalu berakhir kurang baik untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Kemenangan itu membolehkan Jun Hao menamatkan badi kekalahan di set pertama dalam lima kejohanan Jelajah Dunia berturut-turut sejak September tahun lalu apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua.
Menjelang aksi pusingan kedua esok, pemain berusia 27 tahun itu akan menantikan pemenang perlawanan antara pilihan keempat dari Indonesia, Jonatan Christie dan Lee Chia Hao dari Taiwan.
“Saya tidak tahu lagi jumpa siapa esok tetapi siapa pun lawan akan menjanjikan aksi sukar. Apa yang penting, saya perlu melakukan persiapan sebaiknya untuk perlawanan lebih sukar esok,” ujar Jun Hao. – KOSMO! ONLINE














