KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melengkapkan hari sempurna buat Malaysia selepas mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung sebentar tadi, bekas juara dunia itu dipaksa bekerja keras di set kedua sebelum menang 21-11, 21-19 ke atas gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith.
Keputusan itu menyaksikan kesemua lima wakil negara hari ini mencatat kemenangan dan bakal menggalas cabaran pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung esok.
“Saya rasa perlawanan hari ini semuanya baik untuk kejohanan pertama kita pada 2026, cuma kami ada melakukan beberapa kesilapan mudah di set kedua. Bagaimanapun, kami berjaya untuk bangkit.
“Mungkin ada faktor angin kerana ia berbeza jika dibandingkan ketika sesi uji gelanggang. Itu yang membuatkan kami agak ragu-ragu ketika set kedua,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Selain Aaron, turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada saingan hari ini adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai serta perseorangan lelaki, Leong Jun Hao.
Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah juga melepasi halangan pusingan pertama menerusi aksi cukup baik dengan senarai itu dilengkapkan oleh satu lagi beregu lelaki, Arif Junaidi-Yap Roy King. – KOSMO! ONLINE














