MANCHESTER – Pengkritik bola sepak England, Gary Neville menggesa pihak pengurusan Manchester United untuk berhenti daripada terus melakukan proses eksperimen dengan pengurus baharu yang akan mereka lantik.
United ketika ini kembali semula melalui proses mendapatkan pengurus baharu buat kali ketujuh selepas enam pengurus dipecat dalam tempoh 13 tahun selepas Sir Alex Ferguson meninggalkan pasukan itu.
Kelmarin,United membuat keputusan memecat Ruben Amorim selepas dilantik mengemudi pasukan itu pada November 2024 ekoran beberapa keputusan kurang memberangsangkan selain pertelingkahan dengan pihak pengurusan.
“Saya fikur United semakin menyesuaikan diri dengan formasi tiga pemain bek yang digunakan Amorim. Ia sistem yang sukar, mencabar di bahagian sayap dan pemain di belakang penyerang, anda memerlukan pemain pakar untuk formasi itu.
“Tetapi, ia bukan kegagalan pengurus sahaja, ia melibatkan pemain dan kelab terutama ketika urusan mendapatkan pemain yang sesuai.
“Pihak pengurusan perlu berhenti melakukan eksperimen, mereka perlu pergi mendapatkan pengurus yang sesuai dengan DNA kelab ini. Sistem di Ajax atau Barcelona tidak akan sesuai untuk kelab ini biarpun ia bagus.
Bekas rakan sepasukan Neville, Nicky Butt mendedahkan bahawa beliau akan menjual tiket semusimnya jika United membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat Enzo Maresca yang meninggalkan Chelsea sebelum ini.
Terdapat beberapa laporan sebelum itu yang mengaitkan nama Maresca dengan jawatan kosong ditinggalkan oleh Amorim di Old Trafford, namun Butt mengakui beliau bukan indvidu yang sesuai untuk memulihkan prestasi United. – AGENSI














