fbpx
Samirah dan Allahyarham Nazrin (gambar kecil).

Samirah, 2 remaja kekal lepas, bebas kes bunuh CEO Cradle Fund

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Samirah Muzaffar dan dua remaja kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan lapan tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan lepas dan bebas mereka sebelum ini.

“Setelah meneliti alasan bertulis Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, kami tidak mendapati apa-apa kesalahan terhadap sebab-sebab yang diberikan oleh kedua-dua mahkamah ketika membebaskan ketiga-tiga responden daripada pertuduhan.

“Berdasarkan hujahan bertulis dan lisan perayu dan responden, kami tidak dapat menyatakan pertuduhan dibuktikan secara prima facie di akhir pendakwaan. Pihak pendakwaan gagal membuktikan antara lainnya ketiga-tiga tertuduh mempunyai niat bersama untuk menyebabkan kecederaan yang akhirnya boleh menyebabkan kematian,” kata Hakim Abu Bakar Jais.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Mengikut pertuduhan, Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga pukul 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah 51, dan dua remaja berusia 21 dan 24 tahun berkenaan.

Rayuan di Mahkamah Persekutuan itu merupakan tindakan terakhir pihak pendakwaan untuk mengubah keputusan dua mahkamah terdahulu.

Sebelum ini, pada 8 Februari 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua remaja berkenaan.

Pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

Terdahulu pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan Samirah dan dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin atas alasan sama di akhir kes pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam keputusannya turut menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Nazrin dibunuh di antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Samirah dan dua remaja lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Nazrin pada 4 Mac 2019 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Mac 2019.

Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dan sepatutnya dituduh bersama, namun wanita masih bebas.

Perbicaraan bermula 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr. Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN