SINGAPURA – Seorang penghantar makanan warga Malaysia dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu selepas ditangkap menyeludup lebih 100 kilogram tembakau kunyah ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands, lapor laman berita MSNews hari ini.
Pada 1 Disember 2025, lelaki berusia 24 tahun itu, Mohamad Amirul Hakimi Zainal telah didekati seorang rakan dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Aman, yang memintanya memandu sebuah kereta sewa untuk masuk ke Singapura.
Aman kemudian memberitahu bahawa kenderaan tersebut mengandungi ‘chewy’, satu istilah slanga yang merujuk kepada tembakau kunyah.
Menurut akhbar The Straits Times, kira-kira pukul 7.20 malam (waktu tempatan) pada hari yang sama, tertuduh ditahan selepas pemeriksaan dilakukan ke atas kereta sewa itu di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Pegawai kastam menemui dan merampas 380 paket tembakau kunyah dengan berat keseluruhan 117.4 kilogram.
Tertuduh ditangkap pada hari sama dan kemudiannya didakwa di mahkamah pada 3 Disember tahun lalu.
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa perbuatan itu bukan kali pertama dilakukannya.
Tertuduh sebelum ini pernah memandu kereta sewa masuk ke Singapura atas permintaan Aman pada November 2025.
Pada Isnin lalu, tertuduh hadir ke perbicaraan melalui sidang video dan memohon maaf atas perbuatannya serta merayu agar diberikan hukuman ringan. – AGENSI














