PERSATUAN Ragbi Putrajaya (PRP) melancarkan Putrajaya Super Rugby (PSR) 2026 sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh landskap ragbi tempatan menerusi penganjuran liga negeri berstandard profesional.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung bermula 3 Januari hingga 1 Februari 2026 itu dirangka sebagai platform pembangunan menyeluruh selaras dengan aspirasi memajukan sukan ragbi komuniti ke tahap lebih tinggi.
Menurut kenyataan PRP, PSR 2026 menampilkan kelainan dengan menerapkan elemen profesionalisme tinggi merangkumi struktur penganjuran yang jelas, jadual sistematik serta protokol pengadilan yang ketat.
“Apa yang lebih penting, keselamatan pemain diletakkan sebagai keutamaan tertinggi sepanjang kejohanan ini berlangsung.
“Langkah ini termasuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan asas pemain, pengurusan masa rehat yang munasabah serta pengendalian kecederaan dengan sokongan perkhidmatan perubatan lengkap,” jelas kenyataan tersebut.
Selain memburu kejuaraan, kejohanan tersebut turut berfungsi sebagai platform pembangunan atlet tempatan, khususnya memberi ruang kepada pemain muda dan pasukan universiti untuk menimba pengalaman dalam suasana pertandingan berintensiti tinggi.
Ia juga menjadi medium pendedahan terbaik buat jurulatih tempatan mengasah taktikal dan analisis permainan, sekali gus mewujudkan laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun ke peringkat negeri dan kebangsaan.
Aksi peringkat awal kejohanan bakal diadakan di Padang Ragbi Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung di Padang Ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Membawa slogan baharu ‘Komuniti Adalah Keutamaan Kami’, edisi sulung format baharu ini menyaksikan lapan pasukan bakal berentap iaitu Asas RC, Southern Oilers RC, Knuckles RC, SDAR Lions RC, UKM Bandits RC, MMU Hornbills RC, Phytons RC dan Kajang Rams RC.














