PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencatatkan rekod jumlah perjalanan penumpang harian sebanyak 1.63 juta, tertinggi pada 31 Disember lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, purata jumlah perjalanan penumpang harian sepanjang tahun lalu turut meningkat sebanyak 11 peratus kepada 1.31 juta, daripada 1.18 juta pada tahun sebelumnya.
“Prasarana juga berjaya mengurangkan jumlah bilangan gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 31 gangguan pada tahun lalu berbanding 71 gangguan yang direkodkan pada 2024, iaitu penambahbaikan sebanyak 56 peratus.
“Ia hasil inisiatif yang digerakkan sejak tahun 2021 seperti penyelenggaraan aset yang lebih sistematik dan proaktif, pengukuhan kecekapan operasi, serta penambahbaikan ketepatan masa perkhidmatan,” katanya pada Sesi Pembentaan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan Perancangan 2026 di Menara Prasarana, di sini hari ini.
Bagi ketersediaan perkhidmatan pada tahun lalu jelas beliau, Rapid Bus telah mencatat peningkatan kepada 1,355 buah, berbanding 1,165 pada tahun sebelumnya.
Jumlah itu termasuk ketersediaan perkhidmatan Rapid On-Demand yang dipertingkatkan pada tahun lepas dengan 310 buah bas diesel baharu diterima berperingkat sejak tahun lalu dan dijangka lengkap menjelang Februari 2026.
“Sebanyak 250 buah bas elektrik fasa pertama disasarkan untuk penghantaran awal pada Mac 2026, dengan keseluruhan perolehan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2027.
“Prasarana juga berjaya menyiapkan 301 hentian bas dan 16 laluan pejalan kaki. Sebanyak 43 hentian bas dan 17 laluan pejalan kaki masih dalam pembinaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














