YAN – Pengunjung pasar pagi di Arked Guar Chempedak, di sini gempar apabila seorang peniaga petai rebah secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.25 pagi itu, mangsa, Md. Shukri Md. Taib, 64, yang berasal dari Kampung Rendang Pasir, dekat sini dikatakan sedang berdiri sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, orang ramai termasuk peniaga di kaki lima pasar tersebut cuba memberikan bantuan awal, namun warga emas tersebut tidak memberikan sebarang tindak balas.
“Mereka kemudiannya menghubungi pihak berkuasa dan selepas pemeriksaan dilakukan, pegawai perubatan Hospital Yan mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan rekod mendapati Md. Shukri mempunyai penyakit darah tinggi dan kolesterol. Lelaki itu menerima rawatan berkala di hospital. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Yan untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Sementara itu, seorang peniaga ulam berkata, mangsa dikenali sebagai peniaga yang jujur dan tidak berkira.
“Seperti biasa, mangsa datang membawa barang jualannya pada pukul 7 pagi tadi, namun hari ini dia kelihatan kurang berbual dan lebih banyak termenung,” katanya. – KOSMO! ONLINE














