fbpx
Lima lelaki Thailand dihukum penjara lima tahun di Mahkamah Tinggi Kangar atas kesalahan melindungi migran yang diseludup di Wang Kelian dari 2013 hingga 2015.

Penemuan kubur Wang Kelian: 5 lelaki Thailand dipenjara 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – “Tragedi Wang Kelian menggemparkan negara dan dunia, ia memberi kesan besar kepada negara ini. Apatah lagi kesan itu disebabkan oleh anda yang bukan warganegara ini.”

Demikian kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas ketika menjatuhkan hukuman ke atas empat tertuduh warga Thailand kerana melindungi migran yang diseludup pada 2014 dan 2015.

Kes tersebut berkaitan penemuan penempatan sementara dan kubur besar di Wang Kelian.
Empat tertuduh iaitu Suchat Tohdin, 38, Jehpa Lapi-E, 58, Arun Kaeofainok, 31, dan Somphon A-Dam, 53, dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan pihak pendakwaan, hari ini.

Hakim Abazafree menjatuhkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap. Suchat ditahan pada 24 Februari 2022, manakala tiga lagi tertuduh ditahan pada 22 Jun 2023.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa secara bersama melindungi warga Myanmar, Mohd. Belal dengan mengetahui individu itu ialah migran yang diseludup di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di Kaki Bukit, Padang Besar antara Ogos 2014 hingga 5.30 pagi, 10 Mac 2015.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Abazafree berkata, mahkamah perlu memberi pandangan yang serius kepada perkara itu, namun pada masa sama mengambil kira pengakuan salah keempat-empat tertuduh.

“Ini (pengakuan salah) perlu diberi pertimbangan oleh mahkamah kerana ia menunjukkan bahawa anda semua mengambil tanggungjawab ini dan sedia untuk menerima apa sahaja hukuman yang akan dijatuhkan.

“Ia menunjukkan anda insaf dan seperti mana peguam, Rajadevan telah nyatakan dan juga layak dipertimbangkan sebagai satu diskaun selain mahkamah turut mengambil kira trend hukuman dalam pertuduhan sama,” katanya.

Seterusnya, di mahkamah sama, seorang lagi lelaki Thailand, Amree Nesalaeh, 60, juga membuat pengakuan salah bagi kesalahan sama membabitkan migran, Zedul Islam di lokasi sama antara Februari 2013 hingga April 2013.

Dia juga dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun dari tarikh tangkap pada 22 Jun 2023.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Mohd. Izham Ali dan Timbalan Pendakwa Raya, Christoper Enteri Mawan manakala empat tertuduh diwakili peguam, V. Rajadevan. Hanya tertuduh, Suchat diwakili peguam, Fatin Hayati Abdul Rahman yang menyebut bagi pihak Tetuan Bahar & Co. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN