PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu Perodua Myvi yang memasuki kawasan titik buta sebuah treler menyebabkan kereta itu digesel kenderaan berat itu di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), baru-baru ini.
Menerusi hantaran seorang pengguna Instagram @Vincentng_1104, memaparkan kereta tersebut secara tiba-tiba memasuki jalan di lorong kanan dari lorong kiri, sekali gus berada di titik buta pemandu treler.
Video berdurasi sembilan saat itu memaparkan, lori treler tersebut dilihat sempat berhenti manakala sebuah motosikal di arah bertentangan terpaksa berundur bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai termasuk rata-rata pengguna mengecam pemanduan yang membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Lori itu tak nampak ya kalau belok dari tepi macam itu. Jangan nanti salahkan pemandu lori pula,” komen @AriffMohdShahir.
“Bila bawa kenderaan tapi tak berfikir panjang. Lori punya besar, kau cuba nak lawan dan selit sebelah lori? Jadi lempeng baru tahu,” komen @Mahfuzalql.
“Inilah yang banyak berlaku sekarang. Ramai tak ikut lorong yang betul. Jalan lurus tapi potong kenderaan lain dah jadi budaya,” komen @Rockguruh.
“Kalau kenderaan panjang nak belok, kau jangan sibuk nak potong. Tunggu saja sampai dia masuk jalan itu. Nanti kena langgar baru tahu,” komen @Nabilyazren. – KOSMO! ONLINE














