KUALA LUMPUR – Seorang pelajar universiti dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di The Sky Residensi, Taman Shamelin, di sini pada semalam.
Mangsa dikenali sebagai Nurul Ain Hannani, 23, penuntut Universiti Polytech Malaysia, Taman Shamelin, Cheras.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads oleh qistinafarihin, sepupunya didapati keluar daripada semua kumpulan perbualan keluarga, selain akaun media sosial dipadam dan fungsi lokasi dinyahaktif sejak malam Isnin.
Menurutnya, mangsaitu dilaporkan kali terakhir dilihat keluar rumah pada pagi 6 Januari (semalam).
“Nurul Ain mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter dan berbadan besar,” katanya.
Dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Zulfah di talian 017-7111224.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada hari ini.
“Kes melibatkan seorang wanita berusia 23 tahun yang keluar rumah pada semalam di lobi Sky Residensi Shamelin, Kuala Lumpur.
“Pihak polis telah mengambil tindakan dengan membuat hebahan kepada anggota di lapangan bagi mengesan penama dan hebahan turut dibuat di semua media sosial,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














