PETALING JAYA – Berterusan menggunakan profil akaun palsu menggunakan namanya, pelakon Ezzanie Jasny nekad membuat laporan polis bagi mengelakkan salah faham selain bimbang perkara tidak diingini berlaku kepadanya atau ahli keluarga.
Ezzanie atau nama sebenarnya Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 27, berkata, penyamar masih ligat meninggalkan komen keji ke beberapa akaun media sosial individu lain serta membuat hantaran palsu mengenai kematian ibu bapanya.
“Aku tengah tahan nak marah. Apa yang dia dengki sangat dengan aku? Setahu aku, aku takde kacau kehidupan siapa-siapa pun.
“Kau ini sumpah melampau. Siap post (muat naik) gambar mak bapak aku cakap ‘salam takziah’.
“Mak bapak aku hidup lagi tau,” katanya dalam beberapa hantaran di Instagram Story.
Pelakon drama bersiri Dia Bukan Syurga itu turut mendedahkan tangkap layar mesej peribadi daripada akaun terbabit yang berunsur ugutan.
Lebih melampau katanya, pihak terbabit tanpa berselindung menyatakan niat untuk terus mengganggunya serta ahli keluarga lain.
“Aku takkan berhenti, aku akan balas satu keluarga kau bukan TikTok je aku buat,” itu mesej yang didakwa dihantar individu tersebut.
Tambah Ezzanie, gangguan diterima bukan hanya menerusi komen, malah melibatkan penyebaran maklumat palsu dan sensitif.
Paling melukakan hati termasuk memuat naik kandungan ‘salam takziah’ kononnya melibatkan kematian ibu bapanya, sedangkan mereka masih hidup.
“Tahan aku dari marah. Ya Allah, apa masalah kau manusia? Panasnya hati aku ini,” katanya menerusi hantaran lain.
Selain membuat laporan polis, dia turut memaklumkan akan mengemas kini laporan pihak berkuasa andai gangguan tersebut berterusan.
“Bagi penjelasan, ada akaun palsu yang masih menggunakan gambar saya meninggalkan komen di siaran langsung akaun lain.
“Komen tersebut bukan daripada saya. Laporan polis sudah dibuat dan perkara ini juga saya akan maklumkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Sebelum ini, Ezzanie meluahkan rasa kesal apabila sebuah akaun palsu dalam media sosial cuba memainkan isu sensitif berkaitan agama dengan memcuri identitinya.
Pada peringkat awal, pelakon itu memilih untuk berdiam diri kerana menyangka kandungan tersebut tidak mendapat perhatian.
Namun keadaan berubah apabila akaun berkenaan tular seterusnya meraih jumlah tontonan tinggi susulan kandungan palsu mendakwa dirinya sudah bertukar agama, sekali gus memaksa Ezzanie tampil menjelaskan hal sebenar. – KOSMO! ONLINE














