BATU PAHAT – Mayat dipercayai seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menjaring petang Jumaat lalu ditemui terapung di perairan Pulau Bengkalis, Indonesia.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, penemuan mayat pada pukul 8.22 pagi pada jarak kira-kira 48 kilometer dari Jeti Sungai Tongkang, Rengit di Johor atau kira-kira 12 kilometer dari Timur Laut Pulau Bengkalis, Indonesia.
Katanya, pada pukul 12 tengah hari, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) telah membawa dua orang ahli keluarga mangsa yang dilaporkan hilang ke sempadan perairan Malaysia – Indonesia untuk membuat pengecaman mayat bersama pihak Badan Nasional Pencarian Dan Pertolongan Indonesia (Basarnas).
“Pada pukul 1.55 petang, kedua-dua ahli keluarga mangsa telah membuat pengecaman hanya berdasarkan pakaian adalah dipercayai mayat itu adalah sebagai nelayan yang dilaporkan hilang iaitu Mohd Fadzli Misran, 41.
“Mayat telah dibawa pulang ke Pangkalan APMM Zon Maritim Batu Pahat dan terus dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat dan siasatan lanjut,”katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, pengecaman mayat oleh isteri mangsa di HSNI hanya dapat mengecam pakaian mangsa.
Ujarnya, susulan daripada itu, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada waris terdekat akan diambil untuk perbandingan atau padanan dengan DNA mangsa untuk pengesahan identiti secara rasmi. – KOSMO! ONLINE














