KESERASIAN menjadi elemen utama kepada keputusan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk bersetuju untuk dilantik sebagai pengendali baharu Selangor FC.
Jurulatih dari Korea Selatan itu dapat melihat kesungguhan Gergasi Merah untuk membentuk skuad lebih kukuh, selari dengan kemahuan peribadinya menyebabkan beliau menyahut cabaran mengemudi pasukan itu.
“Keputusan saya menyertai Selangor FC dibuat berdasarkan keyakinan terhadap visi dan kesungguhan kelab. Mereka telah menunjukkan komitmen yang luar biasa serta pemahaman mendalam terhadap falsafah dan kepimpinan yang saya akan bawa.
“Selain itu, sasaran dan objektif kelab selaras dengan aspirasi peribadi saya sebagai seorang jurulatih. Falsafah kejurulatihan saya sentiasa memberi fokus kepada pemain.
“Saya menekankan latihan berkualiti, pelan taktikal yang jelas dan analisis lawan yang terperinci bagi memastikan persiapan pasukan berada pada tahap terbaik,” katanya.
Teka-teki mengenai pengendali baharu Selangor FC akhirnya terjawab selepas melantik bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon serta-merta bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Katsuhito Kinoshi.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Selangor FC, kelmarin, kelab itu mengesahkan Pan-gon dilantik sebagai pengendali baharu dan menagih pengalaman luas jurulatih itu untuk membawa pasukan ke tahap lebih tinggi.
“Pasukan akan berusaha menampilkan aksi berintensiti tinggi dan agresif bagi menghadiahkan sebanyak mungkin kemenangan kepada penyokong, seterusnya membangkitkan rasa bangga mereka terhadap kelab,” katanya.














