fbpx
Mahkamah Rayuan.- GAMBAR HIASAN

Hukuman bekas guru GISBH dikurangkan kepada 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengurangkan hukuman penjara seorang bekas guru sekolah agama dari 10 tahun kepada lima tahun atas kesalahan menekan dada murid menggunakan lutut dan merotan tiga kanak-kanak di sebuah pusat pendidikan dan kebajikan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), dua tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah sebulat suara membenarkan Muhammad Barur Rahim Hisam, 25, untuk rayuan mengurangkan hukuman yang dijatuhkan keatasnya oleh Mahkamah Sesyen Klang pada September 2024.

Hakim Azman dalam penghakimannya berkata, pihaknya mendapati pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi perayu di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah selamat.

Jelasnya, keputusan berkenaan tidak memprejudiskan perayu kerana beliau telah diterangkan mengenai sifat serta akibat pengakuan salah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

“Bagi dua pertuduhan merotan, hukuman penjara dikurangkan kepada masing-masing satu tahun manakala hukuman bagi kes merotan dan menekan dada murid dikurangkan kepada dua tahun.

“Hukuman penjara itu dikurangkan kepada lima tahun dan mahkamah mengekalkan keputusan hukuman berkenaan berjalan secara berasingan.

“Mahkamah juga mengekalkan bon berkelakuan baik selama lima tahun namun mengurangkan kadar cagaran terbabit daripada RM40,000 kepada RM12,000,” kata hakim itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.

Prosiding hari dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Ishak manakala tertuduh diwakili peguam bela, Boestamam Ahmad.

Pada 26 September 2024, Mahkamah Sesyen Klang, Selangor menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Muhammad Barur atas tindakan merotan tiga kanak-kanak dan menekan dada salah seorangnya seperti video yang tular sebelum ini.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik empat pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan empat pertuduhan, Muhammad Barur sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap tiga kanak-kanak lelaki berusia 10 dan 11 tahun didakwa menganiaya mereka dengan merotan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Selain itu, dia didakwa menekan dada menggunakan lutut ke atas kanak-kanak sama berusia 10 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di dua premis termasuk sebuah sekolah agama di sekitar Bukit Raja, Klang Utara di sini, antara Jun, Julai dan September 2024.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI