PUTRAJAYA – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira pukul 3.10 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kes tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Turut dilihat mengiringi kereta mewah berkenaan beberapa kereta dipercayai dinaiki pegawai SPRM.
Media sebelum ini melaporkan, Hafizuddeain kini sedang disiasat SPRM berhubung dakwaan aliran tunai besar dalam akaun bank miliknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata, pegawai kanan tentera itu sebelum ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital sejak 28 Disember lalu, namun sudah dibenarkan keluar semalam.
SPRM sebelum ini memaklumkan, pegawai berkenaan dikehendaki memberi keterangan di SPRM, Putrajaya pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
Difahamkan, siasatan SPRM tertumpu kepada aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun pegawai itu dipercayai membabitkan kes rasuah projek perolehan TDM.
Pada 29 Disember lalu, SPRM turut menyita enam akaun bank milik pegawai kanan tentera itu dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes. – KOSMO! ONLINE














