PETALING JAYA – Gangguan perkhidmatan rel merekodkan penurunan ketara sebanyak 87 peratus dalam tempoh tiga tahun hasil penambahbaikan berterusan aspek penyelenggaraan dan pengurusan operasi pengangkutan awam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, statistik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menunjukkan jumlah gangguan rel menurun daripada 252 insiden pada tahun 2022 kepada 118 insiden pada 2023, seterusnya 71 insiden pada 2024 dan hanya 31 insiden direkodkan setakat 2025.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan perubahan positif budaya kerja khususnya dalam kalangan jurutera dan barisan teknikal Rapid Rail.
“Sejak saya menjadi Menteri Pengangkutan, setiap Januari saya akan turun ke Prasarana untuk meneliti kad laporan pengangkutan awam negara. Sebaik-baiknya kita mahukan sifar gangguan, tetapi saya mengiktiraf usaha gigih barisan jurutera Rapid Rail dalam membina budaya penyelenggaraan baharu.
“Tanpa usaha mereka, jumlah gangguan tidak akan dapat dikurangkan 87 peratus dalam tiga tahun,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anthony Loke namun mengingatkan persepsi rakyat terhadap pengangkutan awam tidak bergantung sepenuhnya kepada statistik, sebaliknya dibentuk berdasarkan pengalaman sebenar pengguna.
Kata beliau, walaupun trend gangguan menurun, sekiranya pengguna mengalami beberapa pengalaman tidak baik, mereka tidak lagi akan memilih pengangkutan awam.
“Inilah yang dinamakan ‘behaviourally fragile’ atau rapuh dari segi tabiat penggunaan dalam laporan Khazanah Research Institute.
“Oleh itu, saya menekankan kepada Prasarana apabila berlakunya gangguan, mereka perlu pantas mengaktifkan pelan kontingensi dan berkomunikasi dengan pengguna secara efektif,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau dimaklumkan tentang pola gangguan baru-baru ini berpunca daripada kecurian kabel dan usaha-usaha yang sedang diambil untuk mengatasi masalah ini.
“Kita akan berusaha untuk terus mengurangkan jumlah gangguan pada tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














