MANCHESTER – Legenda Manchester United, Rio Ferdinand mendedahkan bahawa ramai bekas pemain pasukan itu tampil mengucapkan tahniah kepada Darren Fletcher ekoran pelantikannya sebagai pengurus interim pasukan itu.
Fletcher yang bertugas sebagai pengendali skuad bawah 18 tahun dilantik sebagai pengganti sementara selepas pemecatan Ruben Amorim dan perlu menyiapkan skuad United berdepan Burnley awal pagi esok.
Kegagalan Amorim untuk membantu United meraih kemenangan ke atas Wolves dan Leeds United dikatakan menjadi punca pemecatannya selain kata-kata sinisnya ketika sidang media selepas perlawanan di Elland Roads mengeruhkan lagi keadaan.
Bagaimanapun, Ferdinand mengakui sangat gembira dengan keputusan United melantik Fletcher sebagai pengendali sementara sebelum mereka membuat keputusan yang benar-benar tepat mendapatkan pengganti sebenar Amorim.
“Kumpulan laman sosial Whatapps bekas pemain United meriah dengan ucapan tahniah terhadap Fletch. Saya percaya dengan kemampuannya, beliau telah melalui pelbagai kenangan hebat sepanjang bergelar pemain, malah turut berjaya melepasi ujian ketika berdepan masalah kesihatan sebelum ini.
“Saya fikir beliau adalah individu yang tepat untuk diberikan peluang seperti ini. Saya berharap beliau mampu menggunakan kesempatan yang diidamkan oleh ramai bekas pemain seperti ini untuk memberikan yang terbaik.
“Saya percaya perkara pertama yang beliau perlu lakukan adalah menghubungi Sir Alex Ferguson. Saya mahu beliau menyukarkan pihak pengurusan kelab untuk memilih pengurus baharu menerusi kualiti yang ditunjukkan nanti,” jelasnya.
Amorim meninggalkan United dengan rekod 24 kemenangan dalam 63 perlawanan sekali gus menjadi prestasi terburuk untuk pengurus selepas era Ferguson. – AGENSI














