PARIT – Seorang pemilik kebun durian di Bota, Parit tidak menyangka cubaannya menjual durian kahwin RM100 setalam mendapat sambutan hangat sejak bulan lalu.
Mohamad Suhir Ihsan, 63, berkata, durian kahwin terdiri pelbagai jenis itu iaitu D24, MDUR79, IOI, Chanee dan D99 hasil daripada 12.14 hektar ladang duriannya yang telah berusia melebihi 12 tahun.
“Ada juga tanam durian musang king dan black thorn tapi baru hendak berbuah jadi tidak ditumpukan untuk jualan. Durian kahwin memang ada peminatnya yang tersendiri kerana setanding dengan raja buah yang premium.
“Ada yang isinya kuning pekat, saiz biji yang kecil dan rasa berlemak dan bergas yang sememangnya menjadi buruan kepada penggemarnya,” katanya kepada Kosmo! di Parit semalam.
Katanya, selain membeli durian, pengunjung dapat menikmati buah itu di ruang makan selesa dengan meja serta kerusi selain air mineral yang diberikan secara percuma.
“Saya ingin pelanggan menikmati durian yang enak bersama keluarga dengan tenang dan aman selain dapat memperkenalkan konsep pelancongan durian (durian tourism) kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Ini juga membolehkan mereka melawat ladang durian, mengambil buah durian yang luruh serta menikmati secara segar terus dari ladang,” katanya.














