PETALING JAYA – TimeTec Parking telah melancarkan sistem pembayaran DuitNow QRPay bagi membolehkan pengguna membuat bayaran parkir tanpa sentuh dan tanpa tunai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TimeTec berkata, Teh Hon Seng berkata, sistem itu dibina berasaskan teknologi pengecaman nombor plat kenderaan (LPR) membolehkan proses automatik sepenuhnya dari lorong masuk hingga lorong keluar:
Jelasnya, apabila kenderaan memasuki lokasi parkir, sistem LPR merekod nombor plat sebagai rujukan kemasukan.
“Apabila kenderaan keluar, sistem mengira caj dan menjana kod QR DuitNow yang unik serta dinamik pada skrin LCD di lorong keluar.
“Pengguna boleh melengkapkan pembayaran serta-merta dengan mengimbas kod QR dinamik menggunakan mana-mana eWallet atau aplikasi perbankan yang menyokong piawaian DuitNow.
“Palang pagar automatik akan terangkat sebaik pembayaran berjaya, tanpa memerlukan kad fizikal atau tiket,”katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Hon Seng berkata, QRPay diperkenalkan sebagai pilihan pembayaran selain daripada kad bank dan kad Touch ‘n Go.
‘Sehingga kini TimeTec telah berjaya mengaktifkan sistem DuitNow QRPay di 10 lokasi parkir di Lembah Klang, termasuk Zest Point, UTC Selangor, Stadium Chin Woo, USCI, Link2 Bukit Jalil.
“TimeTec menyasarkan pelaksanaan ini meningkat kepada 100 lokasi parkir menjelang suku pertama 2026, termasuk Menara Merdeka 118,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE














