AMPANG – “Kebelakangan ini abang asyik cakap nak balik rumah.”
Demikian perkongsian adik kepada pelakon Allahyarham Isma Aliff, Shamsidah Ismail, 60, mengenai keadaan arwah yang kerap berhalusinasi selepas kesihatannya merosot sejak seminggu lalu.
Katanya, arwah yang hanya terbaring akibat terjatuh di rumahnya di Kampung Melayu Ampang berulang kali menyebut mahu pulang ke suatu tempat yang tidak disebutkan lokasinya.
“Memang keadaannya agak teruk sejak jatuh. Sebelum ini dia masih mampu menguruskan diri dan berjalan menggunakan tongkat kaki empat selepas lumpuh sebelah kiri tubuhnya kerana strok, dua tahun lalu.
“Dalam tempoh seminggu ini dia tak boleh berjalan selepas insiden terjatuh itu. Abang juga macam hilang keyakinan, jadi diam selain susah nak bercakap.
“Sampai hari terakhir, arwah kurang makan, hanya minum air. Kalau bersuara pun dia sebut nak balik rumah. Macam berhalusunasi,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di kediaman arwah di Kampung Melayu Ampang.
Menurut Shamsidah lagi mengenai insiden abangnya jatuh minggu lalu, Allahyarham ketika itu dibantu seorang individu yang kebetulan datang ke rumah menghantar surat.
“Kuasa Allah, ada seorang adik yang hantar surat dan tolong dia yang sudah bangun selepas hampir dua jam tersembam.
“Kalau tidak, memang kena tunggu saya balik dari sekolah. Kebiasaannya rutin harian saya jengah abang dulu. Apa pun selepas kejadian itu dia jadi fobia untuk berjalan.
“Pagi tadi sebelum saya ke sekolah, dia sudah tak bercakap. Pernafasan pun kurang baik. Tapi saya sempat ajar dia mengucap sebelum tinggalkan dia sekejap,” ujarnya.
Berkongsi momen terakhir bersama arwah, Shamsidah berkata, Allahyarham sempat menzahirkan terima kasih selain memohon maaf atas jika ada kesilapannya.
Akuinya lagi, arwah turut meninggalkan pesan akhir yang memberikan kesan mendalam terhadap dirinya.
“Dia memang tinggal seorang tetapi mampu menguruskan dirinya walaupun sukar bergerak. Sejak akhir-akhir ini saya kerap melawat sebab tiada orang jaga.
“Saat akhir, dia kata sudah maafkan semua dan kalau dia cakap kalau ada duit banyak, dia nak beri semuanya kepada saya.
“Kata-kata itu sangat terkesan di hati saya sampai ke saat ini,” ujarnya.
Isma Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, 62, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 8 pagi tadi.
Pelawak juga pengacara popular era 80-an dan 90-an itu berkahwin dengan Norha Rafie pada 1986 dan dikurniakan dua anak, iaitu Norismalina dan Muhammad Aliff.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas Asar. – KOSMO! ONLINE














