PETALING JAYA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru orang ramai mendoakan kesembuhan buat Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Muhyiddin berkata, beliau dan isteri turut mendoakan supaya rawatan Dr. Mahathir dipermudahkan dan diberikan kesembuhan segera.
“Saya mendapat perkhabaran Dr. Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat kecederaan di bahagian pinggul kanan selepas terjatuh di kediamannya. Saya dan isteri mendoakan agar rawatan Dr. Mahathir dipermudahkan dan beliau diberikan kesembuhan segera dan sihat sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau dan isteri juga berdoa semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan kesabaran kepada Dr. Mahathir dan seluruh ahli keluarganya.
“Marilah kita rakyat Malaysia sama-sama mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan buat Dr Mahathir,” katanya. – KOSMO! ONLINE














